Tuesday, July 19, 2011

Persediaan Menghadapi Ramadhan


Banner Seminar SMART Ramadhan


17 Julai, Kota Samarahan – Biro Dakwah ISMA Cawangan Kuching telah menganjurkan seminar “Semarak Mubarak Amal Raih Taqwa” (SMART Ramadhan 1432) bertempat di Pejabat ISMA Kuching, Kota Samarahan dengan dihadiri oleh lebih 50 peserta lelaki dan wanita yang terdiri daripada para pelajar Pusat ASASI Unimas dan UiTM. Seminar ini ialah kali kedua dianjurkan setelah penganjuran kali pertamanya pada tahun lepas sebelum menyambut ketibaan Ramadhan 1431 hijrah.

Program bermula pada jam 7.45am dengan sesi pendaftaran sebelum slot ceramah pertama dimulakan pada jam 8.30am, yang disampaikan oleh Ust Sarbini bin Dahlan, Pegawai Dakwah Kemasyarakatan HIKMAH. Beliau menyampaikan ceramah bertajuk “Kelebihan Ramadhan” yang mengupas secara tuntas tuntutan puasa dan hikmah pensyariatan ibadah puasa, di samping menyentuh beberapa isu yang berlaku dalam masyarakat terkait dengan puasa dan bulan Ramadhan.

Program diteruskan dengan slot kedua bertajuk “Fiqh Puasa” yang disampaikan oleh Ust Mejar Hj Muntaha bin Hj Saleh, Pegawai Staf 2 Agama dari Markas 3 Briged, Kem Penrissen Batu 8, juga merupakan Biro Dakwah ISMA Kuching. Beliau menghuraikan aspek hukum-hakam puasa dan isu-isu semasa yang berkaitan. Di hujung penyampaian, para peserta mengajukan beberapa persoalan feqah yang sering berlaku dalam kehidupan. Slot ini adalah slot yang paling dinanti-nantikan kerana objektifnya adalah mengukuhkan kefahaman dan menambahkan keyakinan para peserta sewaktu melaksanakan ibadah puasa kelak.

Slot yang terakhir disampaikan oleh Saudara Mohd Hanis bin Mohd Nor, pelajar Fakulti Perubatan UNIMAS tahun 5. Bertepatan dengan bidang pengajian beliau, tajuk yang dikupas ialah hikmah puasa dari sudut kesihatan. Beliau membentangkan hasil kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana perubatan yang membuktikan bahawa amalan berpuasa memberikan impak positif dalam pelbagai aspek kesihatan tubuh badan.

Seminar SMART Ramadhan 1432 ditangguhkan pada jam 1.00pm. Diharapkan penganjuran seminar ini dapat membantu para peserta membuat persediaan dan sebagai peringatan untuk menyambut bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi. Mudahan kita dapat menyambutnya seperti yang disebutkan dalam sebuah hadith;

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غُفِر له ما تقدَّم مِن ذنبه

Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (HR al-Bukhari dan Muslim)


Video montaj penutupan Seminar SMART Ramadhan


Poster seminar SMART Ramadhan

No comments:

Post a Comment

Jom komen. Cer tulis sikit.