Friday, July 8, 2011

Kerana Kita Cinta



Peta Dunia Takdir ~ Rekaan Aiman Rosli.

Saya enjoy menulis cerpen ini.

Sebab saya sekarang amat suka menulis berkenaan Dunia Takdir.

Jadi, kepada yang mungkin tertanya-tanya berkenaan Kiai Songo di dalam Takdir: Cahaya Yang Tidak Terpadam,

enjoy cerpen ini.

Semoga bermanfaat.

Enjoy!

Pedang yang unik itu sudah berada di pangkal lehernya. Mata si mangsa sedang terbuntang tidak percaya. Pemilik pedang pula memegang erat hulu senjatanya.

“Abang Fathi, hapuskan dia sekarang!” Kiai Alam melaung, sebelum matanya kembali kepada lawan yang tadi bertempur dengannya. Jeneral O Zero yang kini ditangani oleh sahabatnya, Kiai Awan. Dia terus melangkah, melayang dan menghujamkan dua goloknya kepada lawannya itu.

Kiai Bumi kelihatan berada tidak jauh daripada medan pertempuran Kiai Alam dan Kiai Awan. Lelaki tegap itu sedang menggerakkan kedua tangannya, kemudian menepuk ke ais yang menjadi bumi mereka kini. Cerucuk-cerucuk tajam naik tidak jauh dari tempat tepukan, menjulang ke udara menyerbu Jeneral Valdis yang sedang berusaha melompat setinggi mungkin. Kiai Hutan yang bertempur dengan orang yang sama, kelihatan berlari mengelilingi tempat itu dan melancarkan panahannya ke arah Valdis. Namun Jeneral Utopia itu cekap mengelakkan diri dari kedua-dua serangan. Tetapi tidak pula kelihatan dia di pihak yang menang. Hakikatnya Jeneral Valdis sedang terhimpit.

Di arah yang lain, kelihatan Jeneral End sedang memutarkan tombak tiga matanya, sebelum menunduk untuk mengelak pedang milik Kiai Langit. Tetapi pada saat yang sama jugalah, siku Kiai Api hinggap pada topeng wajah Jeneral itu. Jeneral End terundur beberapa langkah sambil berusaha menstabilkan dirinya.

“Brrrrr…” Suara Jeneral Rafael tidak kedengaran, kerana dia kini terperangkap di dalam bebola air. Seorang lelaki berbaju biru cair sedang menyatukan kedua-dua belah tangan pada paras dada. Kiai Laut namanya.

“Celaka!” Jeneral Izrayel Junjaki menepuk bumi. Merekah ais yang menjadi tanah di Utopia. Dia masih gagal memenangi pertarungan ini. Separuh kekuatannya telah pergi apabila bertempur dengan Kiai Suci di awal pertempuran. Dan kini berdiri di hadapannya seorang kiai yang amat misteri. Kiai Sunyi.

“Bangun Jeneral terhebat Utopia. Bangun. Kerana sesungguhnya tiada yang akan mampu menewaskan kami, melainkan yang diizinkan-Nya.” Kiai yang buta itu mengangkat sebelah tangan, menggerakkan empat jemarinya gaya mencabar.

“Argh!” Izrayel bangkit menghunus pedangnya bersama tenaga yang tersembur-sembur. Tetapi Kiai Sunyi langsung tidak tertekan dengan tenaga yang berat itu. Tujahan pedangnya, dielak dengan jarak helaian rambut. Pergelangan tangannya disiku, dan pada masa yang sama dagunya menerima tumbukan keras.

Sekali lagi dia terjatuh, manakala Kiai Sunyi berdiri utuh dalam kekuda yang siaga.

“Abang Fathi! Apa yang ditunggu lagi?” Sekali lagi Kiai Alam melaung. Pedang Gergasi milik O Zero baru sahaja melayang dan terpacak jauh dari pertempuran akibat seni golok kembarnya yang hebat.

Kiai Suci masih seperti tadi. Bersama Sang Asura, makhluk yang berhajat untuk membawa dunia ke alam kegelapan.

“Kiai Suci, apakah kau menyangka, dengan menghabiskan aku hari ini kau akan menyelamatkan dunia?” Sang Asura bersuara garau dan menakutkan. Matanya merah menyala. Kiai Suci kaku sahaja. Sedangkan, jika dia menggerakkan pedangnya hanya sedikit, maka Sang Asura hanya akan tinggal sejarah sahaja.

“Abang Fathi!” Kiai Alam melaung lagi. Jeneral O Zero sudah berada di bawah telapak kaki Kiai Awan.

Tiba-tiba, Kiai Suci menurunkan pedangnya.

Mata Kiai Alam membesar.

“Kita pulang.” Satu persatu tangga kebesaran itu dituruni.

“Mengapa?” Kiai Alam meninggalkan O Zero dan Kiai Awan. Tidak berpuas hati dengan keputusan Kiai Suci.

“Kerana membunuhnya hari ini, tidak akan menyelamatkan dunia.” Pedang di tangannya, dimasukkan semula ke dalam sarung yang tersandang di belakang tubuh. Kiai Suci bergerak terus meninggalkan kawasan Istana Hitam milik Sang Asura.

Kiai-Kiai yang lain turut berundur. Tidak seperti Kiai Alam, mereka patuh tanpa bicara kepada Kiai Suci. Mereka tidak pula dikejar oleh lawan-lawan mereka. Kerana masing-masing tahu apakah pengakhirannya sekiranya pertarungan diteruskan. Kecuali seorang.

Tanpa suara, Jeneral End menyerang dari belakang secara mengejut. Ketika ini, pedang milik Kiai Suci terhunus dengan sendiri, melayang menghentikan serangan tombak tiga mata daripada Jeneral Utopia itu. Jeneral itu kembali hendak menapak ke tanah, namun Kiai Suci sudah berada di hadapan Jeneral.

Waktu seakan menjadi perlahan.

“Apakah kau bahagia dengan kehidupan begini, End?” Mata Kiai Suci bersinar saat melafazkan persoalan itu, sebelum tubuh End yang terapung itu dihentam sepenuh tenaga dengan kedua-dua belah telapak tangannya, menjadikan Jeneral Utopia itu melayang seperti pucuk yang dilancarkan, menghentam singgahsana Sang Asura.

“Asura!” Kiai Suci bersuara sambil menyarung semula pedangnya. Matanya tepat memaku Sang Asura.

“Takdir Allah itu takkan pernah menyebelahi musuh-musuhNya.”

Sang Asura tertawa. “Dan aku tak pernah mempercayai Dia.”

Kiai Suci berpaling, dan terus bergerak keluar dari Istana Hitam. Di perkarangan Istana, kelihatan ribuan tentera yang sedang menggerumuni. Tetapi tiada yang berani mendekati sembilan orang lelaki itu. Ribuan mayat yang wujud menjadi hamparan di atas bumi kini adalah penyebabnya. Ketua Utama Tentera Elit Utopia yang sedang bertongkatkan tombak hitamnya, berlumuran darah bersama zirah yang koyak rabak juga adalah salah satu sebab. Semua itu adalah akibat serbuan sembilan lelaki ini.

“Long Berk, nyata Allah masih memanjangkan usia kamu hari ini.” Kiai Suci bergerak melepasi Ketua Utama itu.

Mereka sampai ke hujung daratan ais, dan di hadapan mereka kini laut yang teramat sejuk. Tetapi tiada satu pun antara Kiai itu yang berhenti melangkah. Semua terus bergerak, menapak di atas air, seperti berjalan di atas lantai yang solid.

Long Berk hanya mampu melirik sembilan lelaki itu yang bergerak pergi.

“Celaka.” Dia mengetap bibirnya yang penuh dengan darah.

*******

“Abang, saya masih tidak mengerti!” Kiai Alam meninggikan suara.

Kiai-kiai yang lain senyap sahaja melihat Kiai Alam yang kini berdiri betul-betul di hadapan Kiai Suci.

“Bukankah pedang itu adalah apa yang akan memberikan kemenangan kepada kita?” Pedang milik Kiai Suci yang kini damai di atas meja, berada di hujung telunjuknya. Matanya kekal terpaku pada Kiai Suci.

Kiai Suci menggeleng.

“Misi kita, adalah mengislah dunia wahai sahabatku. Bukan untuk membunuh Sang Asura.” Kiai Suci menjawab lembut.

“Tetapi, sekarang, dengan membunuh Sang Asura, dunia akan terislah. Bukankah itu sebab utamanya yang kita pergi menyerbu Tanah Beku itu?!”

“Di situlah kita silap membuat perkiraan.” Kiai Suci menghela nafas. Kedengaran istighfar bergayut perlahan pada bibirnya.

“Silap?”

“Bagaimana agaknya jika selepas Sang Asura mati?” Kiai Suci memandang sahabat-sahabatnya yang lain.

“Dunia akan terselamat?” Kiai Alam pantas menerka.

“Tidak Abang Benjamin.” Keegan, atau Kiai Api menjawab. “Dunia akan rosak di tangan pemimpin-pemimpin Lima Kerajaan.”

Lima Kerajaan, adalah hakikatnya Kerajaan yang agama rasminya adalah Islam. Namun korupsi dan ketamakan pemimpin mereka, menyebabkan dunia jatuh ke kancah kerosakan dan huru-hara. Sang Asura juga hakikatnya adalah hasil perbuatan mereka. Mereka adalah pemimpin yang menghalang Kiai Songo untuk menjejak ke wilayah mereka menyebarkan kebenaran. Mereka adalah yang kemudiannya, tidak menghiraukan nasihat dan pandangan Kiai Songo untuk pertempuran dengan Sang Asura.

Kini, Sang Asura telah berkuasa dan sudah menewaskan hampir kesemua Kerajaan, kecuali Kerajaan Utama. Saki-baki tentera untuk kerajaan-kerajaan yang lain telah berkumpul di Kerajaan Utama.

“Sang Asura itu, sebenarnya adalah ‘teguran’ Allah kepada mereka. Dengan membunuh ‘teguran’ itu, bukankah kita tidak akan memberikan apa-apa kebaikan?” Kiai Sunyi bersuara.

Kiai Alam terdiam. Seakan-akan tersedar.

Tetapi, tetapi…

“Kau wahai adindaku Benjamin…” Tiba-tiba dadanya disentuh lembut oleh Kiai Suci. Terasa seakan-akan sentuhan itu benar-benar menyentuh jiwanya. “Ada dunia di dalam jiwamu. Benar?”

Ketika ini mata Kiai Alam membesar.

“Kau letih dengan perjuangan ini. Penat dengan perjuangan ini. Dan kau ingin segalanya berhenti bukan?” Mata jernih Kiai Suci menyapa matanya.

Tubuh Kiai Alam bergetar. Ketika itu juga air matanya mengalir.

“Kita sudah semakin hampir menamatkan peperangan ini. Sang Asura tidak akan lagi menganggu keluarga kita. Lima Kerajaan hanya akan bertempur sesama mereka. Kita pula telah menyelesaikan tanggungjawab memberikan teguran.” Suara Kiai Alam meninggi.

Kiai Suci menggeleng.

“Tugas ini, tidak pernah selesai, melainkan kita bersamanya hingga saat kematian, wahai Benjamin.”

“Kenapa? Kenapa kita mesti bersusah payah begini untuk manusia lain?” Kiai Alam mengangkat wajahnya. Lurah air mata masih kelihatan berbekas pada kedua-dua pipinya. Nada suaranya juga sebak.

Semua kiai mendiamkan diri. Sepatutnya, Kiai Alam sudah memahami akan persoalan yang dikeluarkan itu. Tetapi dek kerana terkelabu dengan emosi, yang selama ini menyangka bahawa dengan tumbangnya Sang Asura, maka itulah kemenangan yang sebenarnya dan selepas itu hari bersenang-senang akan tiba, dia terlupa akan hakikat mengapa mereka perlu bersusah payah untuk manusia lain.

“Kerana kita ini adalah yang sedar dan faham, akan hakikat sebenar manusia didatangkan ke atas dunia ini, Benjamin.” Kiai Laut berbicara.

“Aku tidak mahu lagi begini. Kalian telah melakukan kesilapan yang besar!” Kiai Alam menepuk meja sekuat hati. Tenaga yang teralir, membuatkan meja itu roboh. Tetapi suasana tidak tegang, kerana kiai-kiai yang lain langsung tidak bereaksi.

Kiai Alam terus keluar dari teratak tempat mereka berkumpul.

Suasana di tempat perkumpulan itu masih sunyi, hinggalah Kiai Bumi bersuara:

“Abang, adakah kita tidak perlu mengejar?”

“Dia akan kembali. Dia akan memahami. Tetapi bukan hari ini.”

Kiai Bumi menghela nafas. Hatta Kiai juga hakikatnya adalah manusia. Ada masa, terjatuh juga.

“Jadi Abang Fathi, di sinikah kita berpisah?”

Kiai Suci memandang Kiai Hutan yang bertanya. Kiai termuda dalam Kiai Songo. Kiai Suci mengangguk perlahan.

“Sebelum itu, aku ada beberapa perkara ingin kita bincangkan terlebih dahulu…”

*******

Hari itu, dia dapat melihat langit teramat gelap di satu penjuru dunia. Jiwanya sendiri tergerak dengan rasa yang kurang menyenangkan.

Usaha terakhir Lima Kerajaan untuk bertempur di Medan Mu’azzam yang berdekatan dengan Kota Terulung itu, menemui kegagalan. Walaupun dia tidak berada di sana, jauh sekali melihat apa yang berlaku, tetapi dia mengetahui. Dia adalah antara manusia yang istimewa, dikurniakan Allah SWT karamah, dibukakan beberapa kelebihan buatnya berbanding kebanyakan manusia biasa. Tetapi hanya tika Allah memberikan sahaja. Bukan dia boleh menggunakan semua kelebihannya sesuka hati.

Dia menghela nafas. Menunduk di beranda terataknya.

Ketika ini, dia dapat merasakan ada sepasang tangan yang lembut, memegang kedua-dua belah lengannya. Mengekori pasangan tangan itu, adalah sebelah pipi yang lembut, melandas pada bahunya.

“Kanda, apakah cahaya telah tewas hari ini?”

Dia menggeleng.

“Cahaya takkan tertewas adinda. Tinggal hari ini, gerhana telah bermula.”

“Kanda tidak pergi bersama sahabat-sahabat kanda? Mungkin ada sesuatu yang boleh dilakukan?”

“Berita terakhir adalah, kami semua diarahkan berdiam diri sehingga mendapat terserlah pada kami takdir untuk memunculkan diri.”

“Bila?”

Sekali lagi dia menggeleng. “Tetapi kami akan tahu bila masanya, bila kami diberitahu.” Kemudian dia melabuhkan pandangannya kepada perempuan di sisinya itu. Isterinya yang tercinta itu.

“Kita akan selamat di sini Adinda. InsyaAllah.” Walaupun tidak terserlah kerisauan pada wajah perempuan itu, dia menenangkan. Isterinya hanya tersenyum.

“Yang menyelamatkan kita bukan tempat, tetapi Allah SWT. Abang sebagai Kiai Alam, patut lebih mengetahui, bukan?”

Dia hanya mampu tersenyum. Kiai. Kadangkala, ada waktu dia hampir terlupa bahawa dia menyandang gelaran itu. Tidak seperti lapan sahabatnya yang lain, yang meneruskan pergerakan mereka dengan melakukan kerja masing-masing, dia telah meninggalkan alam perjuangan itu seluruhnya.

Kiai Suci membesarkan seorang remaja yang dikatakan sebagai manusia terpilih untuk menyelamatkan ummah. Kiai Bumi tinggal di Perkampungan Dafas meneruskan dakwah. Kiai Hutan pergi ke Chinmayi, memberikan bantuan kepada Kerajaan Islam di sana. Kiai Langit pergi ke Bumi Barakah dan Kiai Awan pergi ke Tanah Suci, membantu dua kerajaan di wilayah Tanah Haram itu. Kiai Laut berada di Uftzi, cuba berdakwah kepada Kaum Gergasi dan Makhluk Genetik yang berada di sana. Kiai Api pula berada di Amara, melaksanakan dakwah di sana. Kiai Sunyi tidak diketahui tempatnya, tetapi semua mengetahui dia masih bekerja di atas jalan ini.

Dia, Kiai Alam, sekadar duduk bersama isterinya, tinggal di satu pergunungan tinggi di Wilayah Midori. Wilayah yang dikuasai Jeneral Rafael. Tetapi tempatnya masih belum disentuhi.

“Kenapa abang tidak lagi keluar seperti biasa?” Isterinya bertanya. Tersentuh jiwanya dengan pertanyaan itu. Terasa bahawa isterinya telah lama menyimpan persoalan itu.

Tetapi dia menjawab tanpa nada. “Tiada maknanya.”

Ya. Buat apa keluar berjuang, jika di akhirnya hanya kekalahan?

Buat apa keluar menyeru, jika di akhirnya hanya penolakan?

Lebih baik dinikmati kesenangan saat masih ada.

Lebih baik dihayati bahagia saat masih wujud pada kita.

Itu fikirannya.

*******

Suasana di pergunungan itu dihiasi oleh suaranya yang mengalunkan Surah At-Taubah dari Kitab Langit. Dia tidak melihat bahawa kelebihan-kelebihan yang wujud padanya selama ini ditarik oleh Allah SWT. Walaupun dia telah meninggalkan jalan perjuangan, kelebihan-kelebihan itu masih bersamanya. Terbukti dengan rumput, pokok-pokok, dan haiwan-haiwan yang seakan-akan tunduk khusyuk mendengar bacaannya.

Dia hairan. Tetapi jiwanya dapat merasakan sesuatu. Allah memanggilnya. Tetapi dia cuba untuk tidak menyahut. Sebab dia sebenarnya sudah tidak percaya kepada perjuangan. Dia ingin hidup tenang.

Tiba-tiba, haiwan-haiwan yang mengelilinginya bangun dan melarikan diri. Kiai Alam mengangkat kepala.

“Ah, ada rumah rupanya di tanah ini.”

Sekumpulan manusia, berzirah gelap, bersenjata, sedang menjejak perkarangan terataknya. Dari zirah mereka, dia dapat melihat lambang Wilayah Midori. Ini adalah tentera Utopia.

Kiai Alam perlahan-lahan berdiri. Dia mula dikelilingi.

“Apa yang kamu baca itu wahai lelaki?” Salah seorang dari sepuluh tentera itu cuba menyambar Kitab Langit di tangan Kiai Alam. Tetapi pantas Kiai Alam mengelak.

“Ini adalah Kitab Langit, tidak boleh disentuh oleh tangan kamu yang bernajis.”

Sepuluh tentera utopia itu terkaku sebentar. Mungkin sebelum ini, tiada yang berani menjawab dan berkelakuan begitu terhadap mereka sebegitu rupa.

“Kurang ajar!” Salah seorang bertempik sambil menghayun pedangnya.

Kiai Alam terus mesampingkan senjata itu, sambil pada masa yang sama bergerak ke hadapan menujah penumbuknya pada halkum sang penyerang. Sang penyerang terundur ke belakang, kemudian jatuh melentang, mati di situ juga.

“Serang!” Reaksi yang sudah dijangka daripada tentera Utopia. Kiai Alam terus menundukkan tubuh, manakala sembilan penyerang sudah berada di atasnya menyerbu dengan senjata masing-masing. Suasana menjadi seakan-akan perlahan.

Bumi ditepuk sekuat-kuat hati. Aura mengalir pantas ke dalam tanah, ke sembilan titik, dan zarah-zarah mikro di dalam tanah digerak adun oleh aura tersebut, lantas menujah keluar dari tanah seperti tiang, menghentam semua penyerang pada perut masing-masing.

Kesembilan-sembilan penyerang terpelanting menjauhi Kiai Alam. Ketika itu jugalah dua bilah golok terbang dari dalam rumah, dan mendarat kemas di dalam genggaman Kiai Alam.

“Kamu buat kesilapan yang teramat-amat besar dengan menjejak ke mari.” Kiai Alam menghunus golok kembarnya. Terus dia meningkatkan tenaga dalamannya ke peringkat tertinggi, bergerak menuju mangsanya yang pertama.

Belum sempat berdiri, leher sudah diulit golok.

Mangsa kedua, menerkam, tetapi wajahnya menjamah telapak kaki Kiai Alam, dan dibawa menyembah bumi bersama tubuhnya, sebelum tubuh itu ditembusi salah satu dari golok kembar Kiai Alam.

Mangsa ketiga dan keempat datang serentak bersama tombak mereka. Seorang melibas ke arah kaki, seorang melibas ke arah kepala. Kiai Alam melangkah ke hadapan sebelum melompat sedikit, memutarkan tubuhnya antara dua tombak, dan kemudian berdiri di antara dua penyerang tersebut. Tombak kembarnya menebas leher kedua-dua penyerang itu.

Darah memancut ke udara. Tiga penyerang mara. Tetapi Kiai Alam dengan tangkas memukul titis-titis darah yang jatuh ditarik graviti, menjadikan semua itu seperti butiran peluru. Menembusi tiga musuhnya itu.

Dua penyerang terakhir menerjah. Seorang di atas darat. Seorang dari arah udara. Yang dari darat menujah pedangnya. Yang dari udara menerjah dengan tendangannya. Jelas kelihatan pada telapak kasutnya itu duri-duri tajam yang mampu mencederakan mangsa. Ketenangan Kiai Alam tidak terganggu.

Satu golok membawa bilah pedang mencium bumi sambil Kiai Alam menunduk mengelak serangan dari udara. Pemilik pedang terdorong ke bawah. Penendang menjejak bumi. Pemilik pedang ditarik kolar zirahnya dengan deras, melanggar rakannya yang melancarkan tendangan. Ketika ini Kiai Alam berputar pantas dan melepaskan kedua-dua bilah goloknya seperti pucuk yang dilancarkan, menembusi kedua-dua penyerangnya itu.

Tumbang.

Tinggal Kiai Alam sahaja yang berdiri, berlumuran darah musuh-musuhnya tadi.

Dia menghela nafas. Membuka kedua-dua telapak tangan. Seakan diseru, kedua-dua goloknya kembali di dalam genggaman.

Ketika ini isterinya berlari keluar mendapatkannya.

“Kanda!”

Dia mengucup dahi isterinya itu.

“Nampaknya adinda, kegelapan telah menyelimuti dunia, hingga pintu rumah kita pun diketuknya.”

******

Sudah lima kali mereka berpindah randah. Ke tempat yang dirasakan terpencil dan selamat di Midori ini. Namun setiap kali itu jugalah mereka akhirnya ditemui. Setiap kali berpindah, semakin pendek masa yang sempat dihabiskan dengan tenang.

Kini, mereka hanya bermalam di dalam khemah. Kiai Alam sekadar berjaga di luar, memastikan tiada penyerang yang akan mencederakan isterinya di malam hari.

Hatinya tergerak-gerak. Firasat jiwanya merasakan bahawa, apa yang dirasakan selama ini benar. Dia sedang di’tegur’ oleh Allah SWT. Dia teringat akan kisah seorang Utusan Langit bernama Yunus. Dia berlari keluar dalam keadaan marah dari perkampungan tempat dia sepatutnya melakukan dakwah. Tanpa mendapat arahan daripada Allah SWT.

Menaiki sebuah kapal, dia berlayar meninggalkan perkampungannya yang bernama Ninawa. Tetapi, belum jauh meninggalkan, laut menjadi kacau bilau cuaca menjadi tidak menentu. Kapal pula hampir karam, melainkan ada ahli yang dikorbankan dengan dicampakkan ke laut.

Ahli kapal membuat undian. Ajaibnya, dari bilangan ahli kapal yang ramai, nama Utusan Langit Yunus naik tiga kali berturut-turut. Ketika itulah Yunus merasakan bahawa, Allah memang hendak menegurnya atas sikapnya sebelum ini.

Dengan rela diri, dia terjun dari kapal, yang kemudiannya menyebabkan dia ditelan Ikan Paus. Sebab itulah, sebaik sahaja dia berada di dalam perut ikan tersebut, dia berdoa:

“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini tergolong dari kalangan mereka yang zalim(pada dirinya sendiri, dengan bertindak tanpa mengikut perintah Allah).”

Kisah ini terdapat di dalam Kitab Langit, dan Kiai Alam amat mengingatinya dan memahaminya.

Tiba-tiba, telinganya menangkap bunyi. Tetapi dia tidak bergerak, kerana dia tahu itu adalah bunyi kuakan pintu khemah oleh isterinya.

“Kanda tidak mahu berehat?”

“Adinda tahu yang kanda tidak perlukan rehat.”

Isterinya hanya tersenyum. Walaupun mereka sudah agak berusia, dia tetap merasakan bahawa isterinya adalah yang tercantik di dunia.

“Agak-agak bagaimana dengan Bunyamin dan Sarah?” Isterinya menyebut nama kedua-dua anak mereka. Sudah besar panjang, dan masing-masing telah berkeluarga. Membawa diri masing-masing, dan terputus hubungan akibat peperangan yang melanda dunia.

“Entah. Tetapi insyaAllah, kalau sudah tiada di dunia pun, kita berdoa agar bertemu di akhirat sana.” Kiai Alam menjawab tenang.

“Kanda tidak terkilan jika mereka telah terbunuh di dalam peperangan yang melanda dunia hari ini?”

Kiai Alam menggeleng. Mati adalah pasti. Tidak perlu ditangisi. Nanti di akhirat akan bertemu kembali, sekiranya masing-masing masuk ke syurga Ilahi.

Isterinya tersenyum. “Jadi, mengapa tidak membuktikan kepastian kanda atas jalan perjuangan ini?”

Kening Kiai Alam terangkat. Terkejut dengan apa yang disuarakan isterinya.

“Sebagaimana kanda amat pasti bahawa mati itu adalah mesti. Dan kehidupan yang sebenar hanyalah di akhirat nanti, kemudian kanda buktikan dengan tidak terkilan dengan kematian mereka, mengapa tidak kanda membuktikan keyakinan kanda bahawa perjuangan ini adalah satu-satunya jalan untuk bahagia dengan menyertainya?”

Kini mata Kiai Alam membesar. Tertampar.

Kemudian perlahan-lahan menunduk.

“Kerana di dalam hati kanda, ada rasa untuk senang.”

Dia mengangkat kepala semula. Menatap wajah isterinya.

“Mengapa berjuang, jika memang akan tewas? Mengapa berjuang, jika tidak mendapat kesenangan?”

“Kanda, kita tidak berjuang untuk balasan di dunia. Kita berjuang untuk balasan di akhirat.”

“Kalau begitupun, mengapa mesti disia-siakan hidup kita ini untuk manusia-manusia yang tidak memahami? Kami berjuang, kami menyeru, tetapi manusia-manusia ini tidak menyahut dan bangkit menyedari.”

Isterinya melebarkan senyuman, dan menggeleng perlahan.

“Kanda, kita tidak menyeru mereka untuk apa yang mereka akan balas, atau apa yang mereka akan buat untuk kita. Kita menyeru mereka, kerana kita cinta. Kita cintakan mereka, kita ingin mereka menemui kebahagiaan. Sebagaimana kita yang bahagia dengan kebenaran ini, kanda.”

Kiai Alam diam. Ya. Dia hakikatnya memahami itu. Kefahaman itu adalah apa yang menggerakkan sahabat Utusan Langit Terakhir, Abu Bakr As-Siddiq untuk menyeru kepada orang lain agar kembali kepada Agama Langit, walaupun ketika itu Kitab Langit belum lengkap. Kerana kita bahagia dengan Agama Langit ini, memahaminya, menyedari kebenarannya, sebab itu kita ingin masyarakat juga merasai apa yang kita rasai. Sebab, kita cinta kepada mereka. Ingin mereka memasuki syurga bersama kita.

“Sebab itu, Abang Fathi memilih untuk tidak membunuh Sang Asura.” Isterinya bersuara. Isterinya itu turut mengenali Fathi Auni, Kiai Suci, juga kiai-kiai yang lain kerana mereka pernah berkumpul di rumahnya satu waktu dahulu.

“Kerana dia cintakan ummah ini. Dia ingin ummah ini tersedar dengan teguran daripada Allah SWT.”

Kiai Alam tertunduk kembali.

Tersedar dengan kesedaran yang kamil.

Tubuhnya terus terhinggut-hinggut menahan esak tangis.

Tetapi air matanya tetap menitis.

Dan kemudian esakannya menjadi kuat. Air matanya mengalir deras.

Apakah yang telah dia lakukan selama ini?

“Kau wahai adindaku Benjamin…” Tiba-tiba dadanya disentuh lembut oleh Kiai Suci. Terasa seakan-akan sentuhan itu benar-benar menyentuh jiwanya. “Ada dunia di dalam jiwamu. Benar?”

Dan suara itu kedengaran kembali. Membuat tangisnya menjadi-jadi. Dia berjuang untuk dirinya selama ini. Bukan untuk ummah. Dia hanya fikirkan akhiratnya, bukan akhirat ummah. Sungguh, dia khilaf!

“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini tergolong dari kalangan mereka yang zalim pada dirinya sendiri!” Kiai Alam menjerit di dalam tangis.

Isterinya perlahan-lahan mengusap belakang tubuhnya.

Ketika ini jugalah kedengaran suara asing. “Bunyi apakah itu?” Dan telinga Kiai Alam menangkap suara itu. Musuh berada dekat dengan mereka rupanya.

Perlahan-lahan dia menyeka air matanya. Esaknya berkurangan.

“Adinda duduk di sini. Kanda pergi menyelesaikan mereka.”

“Kemudian?” Isterinya mengangkat kening sebelah sambil kekal tersenyum.

“Kemudian kanda akan penuhi tugasan kanda, sebagai Kiai Alam.”

Senyuman isterinya melebar, menghantar Kiai Alam yang menghilang di balik rimbunan hutan dan kegelapan malam.

Bunyi jeritan pejuang-pejuang yang tumbang membuntuti.

********

“Kanda mendapat petunjuk bahawa, pada aliran sungai ini, ada sebuah perkampungan bernama Hikari. Kanda tahu bahawa itu adalah perkampungan yang orang-orangnya menganut Agama Langit. Adinda pergilah berkampung di situ.” Kiai Alam membetulkan kain yang melitupi kepala isterinya.

Isterinya mengangguk.

“Semoga kanda tabah mengharungi perjuangan ini.” Pipi Kiai Alam dikucup penuh cinta.

“InsyaAllah.” Giliran dahi isterinya menerima kucupan daripada Kiai Alam.

“Doa adinda sentiasa bersama kanda.” Isterinya melambai tangan, saat sampan mula pergi dibawa arus sungai.

“Sama di sini.” Kiai Alam menepuk dada kirinya.

Apabila kelibat isterinya menghilang, Kiai Alam berpaling.

Cinta.

Dia cintakan ummat ini, sebab itu dia memilih untuk terus berjuang. Berjuang untuk memadamkan kegelapan yang menyelaputi dunia ini.

Agar ummat ini bahagia.

Dan mampu bergerak menuju ke syurga.

Dia dapat merasakan, tugasnya adalah di Ibu Kota Midori, Taiyou.

Maka langkahannya dikorak, menuju ke sana. Kerana cinta.

© Langitilahi.com

Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan bahan-bahan yang terdapat di sini, namun alamat langitilahi.com hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa kebenaran pihak langitilahi.com terlebih dahulu

Mari Menjadi Hamba


Kredit to Langitilahi.com

No comments:

Post a Comment

Jom komen. Cer tulis sikit.